Saturday, November 21, 2009

PERINGKAT-PERINGKAT KEJADIAN MANUSIA

PERINGKAT KEJADIAN MANUSIA (A)
Allah s.w.t. mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang rasul untuk seluruh alam. Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Qur’an yang bermaksud:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. [Surah Al-Anbiyaa’, 21: ayat 107]

Justeru, Nabi Muhammad s.a.w diutuskan bukan hanya kepada orang-orang Arab badwi di zamannya, tetapi juga untuk para saintis hari ini yang sedang mengkaji di dalam makmal masing-masing. Baginda s.a.w. ialah rasul untuk semua manusia dari zamannya hingga hari kiamat. Sebelum itu, seorang rasul hanya diutuskan khas untuk kaumnya sahaja sebagaimana yang dinyatakan Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan berkatalah orang-orang kafir: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) sesuatu mukjizat dari Tuhannya?” Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang Rasul pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan tiap-tiap umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang benar”. [Al-Qur’an, Surah Ar-Rad, 13: Ayat 7]

Dakwah Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk semua manusia. Oleh itu Allah s.w.t. telah membekalkan tanda-tanda dan bukti-bukti yang berupaya mengesahkan kebenaran baginda s.a.w.. Bukti-bukti baginda s.a.w. tidak sama dengan bukti-bukti nabi-nabi yang lalu yang hanya dapat dilihat oleh umat semasa itu sahaja dan mungkin oleh umat betul-betul selepas itu. Kemudian Allah s.w.t. akan menghantar seorang rasul yang lain berbekalkan mukjizat-mukjizat baru untuk menjernihkan dan menghidupkan semula keimanan manusia. Oleh kerana Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan untuk seluruh manusia hingga hari kiamat, Allah s.w.t. memberikanya mukjizat yang boleh disaksikan buat selama-lamanya sebagai tanda-tanda yang dapat mengesahkan kebenaran risalah baginda s.a.w..

Jika kita meminta seorang Yahudi atau Kristian menunjukkan mukjizat Nabi Musa a.s. atau Nabi Isa a.s. mereka akan memberitahu kita tidak mungkin dapat ditunjukkan semula mukjizat-mukjizat nabi-nabi itu. Contohnya tongkat Nabi Musa a.s. tidak mungkin dapat diadakan semula. Begitu juga keupayaan Nabi Isa a.s. menyuruh orang mati bangkit semula. Itu juga tidak mungkin dapat ditunjukkan sekali lagi. Bagi kita hari ini, mukijizat-mukjizat itu tinggal di dalam lipatan sejarah. Sebaliknya jika seorang Islam ditanya tentang mukjizat terhebat Nabi Muhammad s.a.w., dia boleh, menunjukkan Al-Qur’an. Ini ialah kerana Al-Qur’an merupakan mukjizat yang berada dalam tangan kita. Ianya satu buku yang boleh dikaji oleh sesiapa sahaja yang sudi membukanya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Bertanyalah (wahai Muhammad): “Apakah sesuatu yang lebih besar persaksiannya?” (Bagi menjawabnya) katakanlah: “Allah menjadi Saksi antaraku dengan kamu, dan diwahikan kepadaku Al-Qur’an ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada kamu dan juga (kepada) sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan Al-Qur’an itu. Adakah kamu sungguh-sungguh mengakui bahawa ada beberapa tuhan yang lain selain Allah?” Katakanlah lagi: “Hanyasanya Dialah sahaja Tuhan Yang Maha Esa, dan sesungguhnya aku adalah terlepas diri dari apa yang kamu sekutukan (dengan Allah ‘Azza wa jalla)”. [Surah Al-An’aam, 6: Ayat 19]

Ciri kemukjizatan Al-Qur’an ada di dalam ilmu yang dibawanya. Allah s.w.t. berfirman:

“(Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Qur’an yang telah diturunkanNya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmuNya, dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Qur’an ini).” [Al-Qur’an Surah An-Nisaa’, 4: Ayat 166].

Berhubung dengan itu, para ahli sains dan para pakar ilmu- professor dari banyak universiti-universiti- telah berkesempatan mengkaji ilmu-ilmu yang dibentangkan Al-Qur’an itu. Dewasa ini, para ahli sains telah cemerlang dalam kajian mengenai angkasaraya, walaupun Al-Qur’an telah pun membincangkan persoalan angkasaraya dan manusia sejak dahulu lagi. Jadi, apakah hasilnya?

Kami perkenalkan Profesor Emeritus Keith Moore, salah seorang saintis terkenal di bidang kajian tubuh manusia (‘anatomy’) dan kajian embrio (‘embryology’). Kami meminta Profesor Moore membentangkan analisa saintifiknya mengenai beberapa ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadis-hadis terutama yang berkaitan dengan bidang kepakaran beliau.

Profesor Moore ialah penulis buku bertajuk “The Developing Human” (Makna: “Manusia Yang Sentiasa Berkembang”). Beliau ialah seorang Profesor Emeritus di bidang kajian tubuh manusia dan biologi sel (‘Anatomy and Cell Biology’) di Univeristy of Toronto, Kanada. Disitu, dia juga pernah berkhidmat sebagai Dekan Madya di Jabatan Sains Asas, Fakulti Perubatan dan pernah menjadi Pengerusi di Jabatan Kajian Tubuh-manusia untuk 8 tahun. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat di University of Winnipeg, Kanada selama 11 tahun. Beliau pernah mengetuai banyak persatuan-persatuan pakar-pakar kajian tubuh-manusia antarabangsa, terpilih untuk menganggotai Persatuan Perubatan Diraja Kanada, Akademi Antarabangsa Cytology, Persekutuan Pakar Tubuh-manusia Amerika, dan Persekutuan Pakar Tubuh-manusia Amerika Utara dan Selatan. Pada tahun 1984, Profesor Moore telah menerima pingat paling dihormati di bidang kajian tubuh-manusia di Kanada, iaitu pingat ‘J.C.B Grant Award’ daripada Persatuan Pakar Tubuh-manusia Kanada.

Beliau telah menulis banyak buku-buku berkenaan kajian tubuh-manusia klinikal dan kajian embrio. Lapan daripadanya diguna-pakai di sekolah-sekolah perubatan dan telah diterjemahkan kepada enam bahasa.

Apabila diminta memberikan analisa mengenai ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadis, Profesor Moore merasa takjub. Beliau tidak mengerti bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. yang hidup 14 abad yang lalu, berupaya menerangkan mengenai embrio dan perkembangannya dengan terperinci dan tepat sekali tentang fakta-fakta yang diketahui ahli-ahli sains hanya sejak 30 tahun yang lalu. Perasaan takjubnya bertukar kepada hormat kepada ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadis itu. Beliau memperkenalkan pula perkara itu kepada para ahli ilmu dan ahli sains lain. Malahan beliau telah memberikan satu ceramah khusus mengenai keserasian di antara kajian embrio moden dan Al-Qur’an dan Hadis dimana beliau berkata:

Saya merasa amat sukacita kerana diberi peluang membantu menerangkan ayat-ayat Al-Qur’an berkenaan pembentukan manusia. Bagi saya ianya suatu yang amat nyata bahawa ayat-ayat ini telah diwahyukan kepada Muhammad (sallallahu'alaihiwassalam-pent) oleh Allah, atau Tuhan, kerana kebanyakan dari fakta-fakta ini tidak ditemui melainkan selepas beberapa kurun selepas itu (selepas riwayat hidup Rasulullah s.a.w.-pen). Ini membuktikan kepada saya bahawa Muhammad ialah seorang Rasul Allah.

Tengoklah apa pakar kajian embrio terkenal itu telah katakan selepas mengkaji ayat-ayat Al-Qur’an yang berkaitan bidang kepakarannya, dan tengoklah kesimpulan beliau bahawa Nabi Muhammad s.a.w. ialah seorang Rasul utusan Allah s.w.t..

Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada tempat penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta”. [Surah Al-Mu’minun, 23: Ayat 12-14]

Perkataan Arab ‘alaqah’ mempunyai tiga makna. Yang pertama ialah ‘lintah’. Yang kedua ialah ‘sesuatu yang tergantung’. Yang ketiga ialah ‘seketul darah beku’.

Bila membandingkan di antara lintah (air-tawar) dengan embrio ketika peringkat ‘alagah’, Professor Moore mendapati satu persamaan yang tepat diantara kedua-duanya. Beliau membuat kesimpulan bahawa embrio di peringkat ‘alaqah’ berbentuk sama dengan bentuk lintah. Profesor Moore meletakkan gambar embrio berdekatan dengan gambar lintah (Lihat gambarajah 2.1). Beliau membentangkan gambar-gambar ini kepada ahli-ahli sains apabila di dalam pertemuan-pertemuan.Makna kedua perkataan ‘alaqah’ ialah ‘sesuatu yang tergantung’, dan inilah yang boleh kita saksikan iaitu embrio memang tergantung di rahim ibunya (‘uterus or womb’) ketika peringkat ‘alaqah’. Makna ketiga perkataan ‘alaqah’ ialah ‘seketul daging yang beku’. Profesor Moore menerangkan ketika peringkat ‘alaqah’, embrio melalui beberapa kejadian. Contohnya pembentukan darah di dalam satu tempat tertutup (‘closd vessel’) sehinggalah pusingan metabolik telah sempurna melalui ‘placenta’. Ketika peringkat ‘alaqah’, darah terpencil di dalam satu tempat yang tertutup. Justeru, embrio berbentuk seperti seketul darah beku disamping seperti lintah. Kedua-dua bentuk itu dinyatakan oleh satu perkataan Al-Qur’an berbunyi ‘alaqah’.

Bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. berupaya mengetahui kesemua itu? Profesor Moore juga mengkaji embrio ketika peringkat ‘mudghah’ (sesuatu yang dimamah/dikunyah). Beliau megambil secebis ‘clay’ dan memamahnya. Kemudian beliau membandingkannya dengan gambar embrio ketika peringkat ‘mudghah’. Profesor Keith Moore berkesimpulan bahawa embrio di peringkat ‘mudghah’ berbentuk seperti sesuatu yang dimamah (Lihat gambarajah 2.2). Beberapa penerbitan Kanada telah menyiarkan kenyataan Profesor Moore. Selain itu, beliau juga mempersembahkan tiga program televisyen dimana beliau membicarakan keserasian di antara sains moden dan ayat-ayat Al-Qur’an yang telah diturunkan 1400 tahun dahulu.

Kemudiannya beliau ditanya satu soalan: “Adakah ini bermakna anda percaya Al-Qur’an ialah wahyu Allah?”.

Beliau menjawab: “Tidak sukar untuk saya mempercayainya”.
Beliau juga ditanya: “Bagaimana anda boleh mempercayai kerasulan Muhammad sedangkan pada masa yang sama anda mepercayai Isa?”.
Beliau menjawab: “Saya yakin mereka berdua datang dari sumber yang sama”.Justeru ahli sains moden seluruh dunia hari ini boleh mengetahui bahawa Al-Qur’an ialah wahyu Allah s.w.t. Itulah yang Allah s.w.t. firmankan di dalam Al-Qur’an [Surah 4: 166] yang bermaksud;

“....Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Qur’an yang telah diturunkanNya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmuNya....” [Al-Qur’an Surah An-Nisaa’, 4: Ayat 166]. Terjemahan penuh- sila lihat di atas.

Oleh itu, tidak sukar untuk ahli-ahli sains moden menerima hakikat bahawa Nabi Muhammad s.a.w. ialah seorang rasul Allah sallallahu'alaihiwasallam.

PERINGKAT- PERINGKAT KEJADIAN MANUSIA (B)
Buku “The Developing Human” (Makna: “Manusia Yang Berkembang”-pent.) ditulis oleh Profesor Keith Moore telah diterjemahkan ke lapan bahasa. Buku ini dianggap sebagai satu rujukan saintifik dan dipilih oleh satu jawatankuasa khas di Amerika Utara sebagai buku terbaik yang ditulis seorang penulis. Kami bertemu dengan penulisnya dan membentangkan kepadanya beberapa ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadis yang berkaitan dengan bidang kepakarannya dalam kajian embrio.

Profesor Moore yakin dengan bukti-bukti yang kami tunjukkan. Justeru, kami bertanya soalan berikut: “Tuan menyatakan di dalam buku tuan bahawa ketika Zaman Pertengahan (‘Middle Ages’) tiada perkembangan di dalam pengkajian sains embrio dan hanya sedikit ilmu tentangnya ujud ketika itu. Pada masa itulah Al-Qur’an diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan baginda s.a.w. memimpin manusia berdasarkan apa yang Allah s.w.t wahyukan kepadanya. Terdapat di dalam Al-Qur’an penerangan terperinci mengenai penciptaan manusia dan peringkat-peringkat perkembangan manusia. Tuan seorang ahli sains yang terkenal di seluruh dunia. Jadi mengapa tuan tidak berlaku adil dan menyatakan kebenaran ini di dalam buku tuan?

Beliau menjawab: Anda ada buktinya dan saya tiada. Jadi, mengapa anda tidak membentangkan bukti-bukti itu kepada kami? Kami bentangkan kepadanya fakta-fakta (dari Al-Qur’an dan Hadis) itu dan Profesor Moore terbukti sebagai seorang ahli ilmu yang hebat. Di dalam edisi ketiga bukunya, beliau membuat beberapa perubahan. Buku ini telah diterjemahkan ke lapan bahasa, termasuklah Bahasa Rusia, Cina, Jepun, Jerman, Itali, Pertugis, dan Yoguslavia. Buku ini telah diedarkan keseluruh dunia dan dibaca oleh kebanyakan ahli-ahli sains terkemuka dunia.

Profesor Moore menulis di dalam bukunya mengenai Zaman Pertengahan: Perkembangan sains amat perlahan ketika Zaman Pertengahan, dan ada beberapa kajian penting mengenai embrio dibuat di zaman itu yang kita ketahui. Ada disebut di dalam Al-Qur’an, kitab suci orang Islam, bahawa manusia terbentuk hasil dari percantuman antara air benih lelaki dan wanita. Beberapa ayat memperkatakan tentang penciptaan manusia dari setitik air mani, dan ada juga ayat yang menyatakan bahawa ‘makhluk‘ yang terhasil dari percantuman itu akan hidup seperti ‘benih’ di dalam tubuh wanita enam hari selepas ianya terjadi. (‘Blastocyst’ manusia mula hidup selepas 6 hari percantuman antara benih lelaki dan telur wanita.
Al-Qur’an juga menyebut bahawa air mani bertukar menjadi seketul darah beku. (‘Blastocyst’ yang hidup atau yang keguguran berbentuk seperti darah beku). Selain dari itu, menurut Al-Qur’an embrio juga dinyatakan berbentuk seperti lintah.

Embrio sememangnya berbentuk seperti seekor lintah. Embrio juga disamakan bentuknya dengan sesuatu yang dimamah- seperti ‘gum’ atau kayu. (‘Somites’ memang nampak seolah-olah sesuatu yang ada kesan gigi akibat dimamah.Embrio yang sedang membesar disifatkan sebagai manusia ketika berumur 40 hingga 42 hari. Ketika itu embrio manusia tidak lagi berbentuk seperti embrio binatang. (Lihat gambarajah 3.2) (Embrio manusia mula mempunyai ciri-ciri kemanusiaan pada peringkat ini). Al-Qur’an juga menyatakan bahawa embrio membesar di dalam tiga keadaan atau dinding yang gelap. Ini mungkin merujuk kepada (1) dinding perut ibu (2) dinding ‘uterine’, dan (3) ‘amniochorionic membrane’ (Lihat gambarajah 3.3). Ruangan yang terhad tidak membenarkan perbincangan lanjut mengenai banyak lagi ayat-ayat Al-Qur’an yang memperkatakan tentang perkembangan bayi di dalam kandungan.Itulah kenyataan Dr. Moore di dalam bukunya yang telahpun didearkan ke seluruh dunia, segala puji-pujian hanya untuk Allah s.w.t.. Penemuan sains telah menyebabkan Profesor Moore merasa bertanggungjawab untuk menulis perkara-perkara tersebut di dalam bukunya. Beliau kemudiannya berkesimpulan bahawa pengkelasan moden mengenai peringkat-peringkat perkembangan embrio, yang dipakai di seluruh dunia, susah untuk digunakan dan tidak lengkap. Ia tidak menyumbang kearah usaha memahami peringkat-peringkat perkembangan embrio kerana ianya dikelaskan berdasarkan nombor, iaitu peringkat 1, 2, 3, dan seterusnya.

Pengkelasan yang Al-Qur’an nyatakan pula tidak bergantung kepada system nombor. Sebaliknya ianya berdasarkan kepada keadaan embrio yang senang dicamkan atau bentuk embrio ketika itu.

Al-Qur’an mengenalpasti peringkat-peringkat perkembangan kandungan seperti berikut:

Nutfah yang bermakna “satu titisan” atau “sedikit jumlah air”;
‘alaqah yang bermaksud “satu makhluk yang berbentuk seperti lintah”;
mudghah yang bermakna “sesuatu yang kelihatan seperti dimamah”;
‘idhaam yang bermakna “tulang” atau “skeleton”;
kisaa ul idham bil-laham yang bermakna pembungkusan tulang dengan daging atau otot, dan
al-nash’a yang bermakna “pembentukan janin yang boleh dicamkan”.

Profesor Mooree menyedari bahawa pengkelasan oleh Al-Qur’an ini berdasarkan kepada peringkat-peringkat kandungan bayi yang berbeza. Beliau mengakui bahawa cara pengkelasan ini memberikan satu pengenalan saintifik yang canggih dan ianya lengkap dan senang digunakan.

Di dalam satu persidangan yang dihadirinya, Profesor Moore berkata begini: Embrio berkembang di dalam rahim ibu atau ‘uterus’ dengan dilindungi oleh tiga lapisan pelindung seperti yang ditunjukkan di dalam ‘slide’ yang berikutnya [‘Slide’ tidak ditunjukkan-pent] (A) ialah dinding perut ‘anterior (B) dinding ‘uterine’ dan (C) ‘amniochorionic membrane (Lihat gambarajah 3.5) Perubahan proses yang berterusan menyebabkan pemeringkatan embrio manusia amat kompleks, Justeru, dicadangkan satu sistem pengkelasan yang baru diperkenalkan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang digunakan di dalam Al-Qur’an dan Hadis. Sistem yang dicadangkan ini amat mudah, menyeluruh, dan menepati fakta-fakta terkini mengenai kajian embrio.
Kajian mendalam mengenai Al-Qur’an dan Hadis sejak empat tahun yang lalu telah memberitahu kita tentang satu sistem untuk mengkelaskan embrio manusia yang amat menakjubkan disebabkan ianya di’catat’kan pada abad ke-7 Masehi. Walaupun Aristotle, pengasas kajian sains embrio, menyedari tentang embrio ayam yang berkembang berperingkat-peringkat melalui kajiannya terhadap telur ayam pada abad ke-4 Sebelum-Masehi, dia tidak mencatatkan dengan terperinci mengenai peringkat-peringkat perkembangan itu. Justeru, tidak munasabah untuk dikatakan huraian Al-Qur’an mengenai embrio manusia berdasarkan kajian sains ketika abad ke-7 itu. Apa yang munasabah hanyalah hakikat bahawa penerangan itu diwahyukan sendiri oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Baginda tidak mungkin tahu mengenai fakta-fakta itu kerana baginda seorang yang tidak tahu membaca dan tidak pernah mengikuti sebarang kursus berkaitan sains.

Kami memberitahu Dr. Moore, ‘Apa yang tuan kata itu benar, tetapi ia masih pincang berbanding banyak lagi ayat-ayat berkaitan kajian embrio dari Al-Qur’an dan Hadis yang telah kami bentangkan kepada tuan itu. Jadi, mengapa tuan tidak berlaku adil dan bentangkan keseluruhan ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadis yang membincangkan bidang kepakaran tuan itu?”.

Profesor Moore menegaskan beliau telah pun memasukkan rujukan yang sesuai di dalam buku saintifik yang khusus. Walaubagaimanapun, beliau mengajak kami menambah di dalam bukunya mana-mana ayat Al-Qur’an dan Hadis yang berkenaan, dan menerangkan tentang aspek keajaipan ayat-ayat itu. Kami lakukan yang demikian dan kemudiannya Profesor Moore menulis mukadimah kepada tambahan bercorak Islamik ini dan hasilnya seperti yang anda saksikan sekarang.
BERSAMBUNG..........GAMBAR AKAN DILENGKAPI KEMUDIAN..........

0 comments:

Post a Comment

KLIK DISINI :

KLIK DISINI :
SILAHKAN KLIK PADA GAMBAR UNTUK ENDAPATKAN FORM ORDER