Saturday, November 21, 2009

FAKTA-FAKTA SAINTIFIK TENTANG ISLAM

Salah satu aspek i’jaaz yang paling popular (sifat kemukjizatan) Al-Qur’an kali ini mengenai komennya pada aspek sains dimana Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabatnya (pada waktu itu) tidak mengetahui tentangnya. Terdapat beberapa buku yang telah ditulis mengenai topik ini, mungkin yang paling popular adalah buku karangan oleh Dr. Maurice Bucaille; ‘Bibel Qur’an dan Sains Moden’[4]. Walaubagaimanapun perlu diingat bahawa Al-Qur’an tidaklah diturunkan sebagai kitab yang membincangkan asas atau teori-teori sains tetapi adalah kitab panduan dan petunjuk (keagamaan) bagi umat manusia. Sebarang rujukan subjek-subjek saintifik dari Al-Qur’an pada dasarnya adalah secara ringkas dan tidak dihuraikan secara terperinci. I’jaaz Qur’an kelihatan di mana walaupun dalam penjelasan yang terhad memperkuat secara pasti fakta sains moden dan memberikan pengetahuan yang tidak diketahui pada waktu hayat Nabi Muhammad s.a.w. Penjelasan Qur’an ini menunjukkan ianya bebas dari tuduhan menciplak aliran idea dahulu yang dipegang umat manusia pada waktu itu, seperti konsep Bumi itu tidak bergerak dan bintang-bintang dan planet-planet yang lainnya bergerak mengelilingi bumi.

Terdapat beberapa contoh ayat-ayat sebagaimana penjelasan mengenai pembentukan janin manusia. Air mani lelaki adalah gabungan dari berbagai unsur yang tersimpan dalam biji zakar (testicles); gelembung seminal, prostat dan kelenjar-kelenjar lain, oleh itu ia dirujuk sebagai ‘cecair yang bercampur’ [76: 2]. Secara harfiahnya jutaan benih (air mani) dihasilkan dengan sekaligus, hanya satu benih mani yang sebenarnya digunakan dalam proses persenyawaan – kuantiti yang sangat sedikit. Ini dirujuk kepada beberapa ayat Qur’an dengan kata ‘nutfah’ [75: 37] yang bererti campuran cairan dengan kuantiti yang sangat sedikit (setitis). Kemudian benih mani ini bercantum dengan telur wanita (ovum) dan membentuk zygoy (lihat gambarajah 2). Keadaan ini terjadi di dalam rahim ibu, pada ‘tempat penetapan yang kukuh’ [23: 13]. (Sila rujuk Bab Peringkat-Peringkat Kejadian Manusia).

Semasa proses bersalin, keluarnya bayi dari rahim ibu kedunia luar berlaku melalui saluran peranakan. Lazimnya saluran ini sangat sempit dan ketat. Walaupundemikian sejurus sebelum kelahiran beberapa perubahan akan berlaku; termasuklah pengeluaran beberapa harmon tertentu, pengecutan rahim dan pecahnya ‘sarung air’ disekitar bayi semuanya menyumbang kepada saluran peranakan ini menjadi longgar. Ini merujuk kepada ayat 80: 20; “Kemudian Dia mudahkan jalannya (melalui saluran peranakan - mudah bersalin)”

Mungkin cara terbaik untuk memahami keindahan ayat di atas adalah dengan melihat gambar embrio manusia sebagaimana ia melalui berbagai peringkat perkembangan… (Sila rujuk Bab Peringkat-Peringkat Kejadian Manusia). Gambaran kehidupan yang mudah dan jelas didapati dalam ayat-ayat ini (sebagai contoh 22: 5) dimana orang tidak mengetahui pada waktu hayat Nabi Muhammad s.a.w., mendemostrasikan i’jaaz Al-Qur’an dengan Sains.

Fakta-fakta lain yang didapati dalam Al-Qur’an adalah termasuk penjelasan tentang pembentukan susu [16: 66], pemikiran tentang orbit untuk planet-planet [21: 33 dan 36: 40], penjelasan mengenai kitar air [15: 22, 35: 9] dan banyak lagi. Setiap ayat dibincangkannya secara dasar dan merangkumi penciptaan-Nya kedalam ketogori ini. Dalam banyak ayat Allah membimbing umat manusia dengan penuh berhati-hati keatas penciptaNya dan menyebutkannya sebagai petunjuk kepada kewujudan dan kuasaan-Nya [3: 190-191].

Satu lagi nota terakhir pada konsep sains sebagai i’jaaz Qur’an: Tidak mungkin terdapat kontradiksi diantara ketetapan Allah dan Al-Qur’an perihal ciptaan-Nya (sains yang benar). Al-Qur’an ialah kitab Allah, oleh kerana ianya daripada Allah “tidak ada sebarang syak padanya” [2: 2].

Demikian pula peraturan-peraturan yang memerintah pencipta adalah daripada Allah jua. Di suatu pihak apa yang dipelajari sebagai ‘sains’ ialah percubaan manusia untuk memahami ciptaanNya dan peraturan-peraturan atau ketetapan Allah. Oleh itu penerimaan saintifik mungkin adalah salah atau tidak tepat dan ini telah didemostrasikan atau dibuktikan oleh sejarah; fakta-fakta saintifik seperti Bumi itu adalah rata atau matahari mengelilingi bumi sebagai orbitnya. Konsep-konsep ini dipercayai dengan sangat kuat oleh ‘ahli-ahli sains’ pada masa mereka, pada saat sesiapa yang menentang konsep-konsep tersebut telah ditangkap malah dibunuh. Lama kelamaan ahli-ahli sains mendapati ketidaktepatan konsep-konsep tersebut.

Oleh itu bilamana terdapat konflik diantara maksud ayat Qur’an yang jelas dan tegas (maksud qat'ee ad-dalaalah) dengan sains ‘moden’, seorang muslim hendaklah mengambil atau berpegang pada ayat Al-Qur’an tersebut tanpa ragu-ragu melebihi sebarang ‘fakta’ sains tadi. Penolakan salah satu ayat Qur’an atau maksud yang jelas adalah sama dengan menolak pengetahuan (ilmu) Allah. Sebagai contoh sebahagian besar dari majoriti golongan terpelajar non-muslim bersetuju dengan teori evolusi, sama ada ianya mempunyai bukti yang kuat atau tidak untuk menyokongnya. Al-Qur’an menjelaskan Allah sendiri menjadikan Adam; “… dan daripada (Adam) Allah menciptakan pasangannya (isterinya), dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak…” [4: 1].

Oleh itu seorang muslim tidak boleh mempercayai teori bahawa manusia berketurunan atau berasal dari kera, tidak kira apapun ‘bukti’ yang mungkin dikemukakan[5]. Tidak seorangpun yang dibenarkan, seperti segelintir muslim yang telah cuba menafsirkan teks Qur’an untuk disesuaikannya secara rasional dengan teori-teori moden. Dengan mengikut seperti contoh diatas untuk cuba mentafsir kisah penciptaan Adam dan Hawa mempunyai ciptaan seperti spesis manusia neo Neanderthal, pada awal-awal lagi ianya sama dengan menghina dan menolak ayat tersebut!

Walaubagaimanapun, mungkin dapat dilihat konflik diantara sepotong ayat dan satu fakta saintifik. Ini berlaku bila segelintir golongan terpelajar mungkin hanya mengambil satu makna dari suatu ayat bila makna itu memperkuat ayat tersebut, tetapi ayat tersebut mungkin juga membawa makna yang lain (secara dasarnya, ayatnya ialah dhannee ad-dalaalah). Sebagai contoh sebahagian golongan terpelajar memahami ayat-ayat dari Al-Qur’an [“Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas” (13: 3) dan (15: 9)] bagi menunjukkan yang bumi itu rata, kerana kata ‘madd’ boleh juga bermaksud ‘yang meluaskan’. Walaubagaimanapun ayat ini tidaklah menegaskan yang bumi itu rata dan untuk menyimpulkannya dari ayat di atas memerlukan beberapa derjat tingkat penafsiran. Oleh kerana dengan jelas terbukti bahawa bumi tidak rata, penafsiran ini harus ditolak. Tafsir ayat tersebut ialah Allah menjadikan bumi terbentang luas untuk umat manusia dan bukannya bumi itu rata (Prinsip ini juga boleh diaplikasikan untuk ayat 'baynas sulbi wat taraaib' dalam surah At-Tariq merujuk kepada air mani dan diterjemahkan sebagai “yang dihasilkan dari antara tulang sulbi (lelaki) dan tulang dada (perempuan)” – Edisi Web)

Juga asasnya fakta-fakta saintifik tidak dibaca di mana ianya tidak wujud. Malangnya ini telah menjadi sesuatu tren yang lumrah dikalangan para Muslim ‘moden’ yang memiliki pengkhususan dalam sains, tetapi tidak arif dengan penafsiran Qur’an[6]. Sekali lagi Al-Qur’an “… ialah sebuah kitab panduan… dan bukan sebuah buku sains atau nota-nota fakta saintifik yang samar”[7].

Sebagai contoh, ramai orang menterjemah ayat dibawah sebagai ramalan pengembaraan manusia ke ruang angkasalepas.

“Hai jemaah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintaslah, kamu tidak dapat menembusnya melainkan dengan kekuasaan” [Qur’an Surah 55: 33]

Walaubagaimanapun melihat pada ayat seterusnya dan authentik tafsir oleh Ibn Katheer dan At-Tabaree, akan menunjukkan bahawa ayat ini merujuk kepada jin-jin yang mendengar bisikan malaikat di langit (atau kepada kebangkitan pada hari kiamat), dan bukan kepada penjelajahan inter-galektik!

Sebagai kesimpulannya, walaupun aspek saintifik Al-Qur’an adalah salah satu aspek-aspek i’jaaznya, ianya mesti diletakkan ditempat yang sesuai dan metadology yang sesuai hendaklah digunakan semasa mengutip contoh-contoh seperti ayat-ayat tersebut. Ia boleh membawa banyak keburukan berbanding kebaikan apabila beberapa ayat Al-Qur’an ‘diputar’ dari kata asalnya untuk mengatakan dan untuk menunjukkan bukti bahawa Qur’an mengandungi sebahagian fakta-fakta saintifik secara tidak langsung. Suatu perkara yang harus diberi perhatian adalah dimana dan apakah metadology yang digunakan bagi melihat bagaimana kekeliruan kesimpulan tersebut. (Sebagai contoh, Muhammad Rasheed Ridaa (d. 1935), salah seorang yang mengasaskan pergerakan ‘Modenis’ menegaskan bahawa ‘Jin-jin’ yang dirujuk dalam Al-Qur’an sebenarnya adalah menyinggung penemuan kuman penyakit ‘arraying’!) Bilamana fakta-fakta sedemikian jelas dan dengan tegas dari ayat Qur’an, ianya haruslah dijelaskan (seperti contoh-contoh yang dikutup diatas – dan di dalam buku ini insya-allah), tetapi bila ianya berlawanan dengan maksud ayat tersebut ia haruslah ditinggalkan.

Dipetik dan disesuaikan dari “Pengenalan kepada Sains-sains Al-Qur’an” oleh Abu Amaar Yasir Qhadhi [8].

_____________________________________

Nota Kaki:

[4] Buku ini adalah sebuah buku yang sangat berguna di dalamnya terdapat banyak huraian ayat secara saintifik. Walaupun begitu terkadang penulisnya mentafsirkan ayat dengan pemahaman yang tidak sesuai seperti dimukasurat 167-169. Juga salah satu bab yang terakhir, ‘Qur’an, Hadith dan Sains Moden’, dimana terdapat pandangan yang menyimpang terhadap hadith dan ini menunjukkan penulis tersebut tidak begitu arif dengan subjek (ilmu hadith) tersebut. Pendirian beliau terhadap kesahihan dan status hadith Nabi Muhammad s.a.w. juga tidak tepat.

[Nota:-- Antara lain Dr. Maurice Bucaille dalam buku tersebut mengkritik beberapa hadith dalam bab Qur’an Hadith dan Sains Moden. Berikut adalah satu contoh kritikan beliau terhadap hadith yang dipetik dari buku tersebut mengenai tahap-tahap perkembangan embrio:

“…terdapat keterangan tentang tahap-tahap pertama daripada perkembangan embrio. Keterangan tentang waktu yang diperlukan oleh tahap-tahap itu terasa aneh; satu tahap untuk mengumpulkan unsur-unsur yang menyusun manusia, Iamanya 40 hari, satu tahap di mana embrio itu merupakan “sesuatu yang melekat” lamanya 40 hari, dan satu tahap di mana embrio menjadi seperti daging yang dikunyah lamanya juga 40 hari. Kemudian setelah campur tangan malaikat untuk menentukan hari kemudian embrio itu, suatu roh ditiupkan dalam embrio tersebut. Gambaran perkembangan embrio seperti tersebut di atas tidak sesuai dengan Sains moden.”

Hadith yang hampir sama telah dibincangkan di dalam buku ini oleh Profesor T.V.N. Persaud (sila rujuk Bab Penyakit Baru Kerana Kelucahan dan Kemaksiatan), lihat gambarajah peringkat-peringkat perkembangan embrio dalam bab tersebut yang mungkin dapat membantu memahami hadith diatas dengan lebih baik. Nampaknya hadith tersebut dapat diterima oleh sains moden, dengan demikian ternyata bahawa kritikan Dr. Maurice Bucaille seperti diatas adalah kurang tepat dan kita menegaskan sekali lagi bahawa tidak ada kontradiksi di antara hadith yang sahih dengan sains moden. -- Pent]

[5] Meskipun begitu kebenaran teori evolusi itu mempunyai banyak kelemahannya dan masalah-masalahnya yang tersendiri.

[6] Orang-orang seperti ini merasakan bahawa bagi membuktikan kebenaran Al-Qur’an, mereka mestilah membuktikan apa-apa yang telah diperkatakan oleh sains mestilah sudah dibincangkan di dalam Al-Qur’an. Walaubagaimanapun sifat mukjizat Qur’an itu sendiri tidak memerlukan pembuktian aneh seumpama itu.

[7] Von Denffer, hlm. 157. Dengan kata lain, tidak ada kiasan saintifik yang ketiga terpendam dibawah setiap ayat Al-Qur’an, menunggu untuk digali oleh Muslim yang sangat bersemangat dan imaginatif!

[8] Versi bahasa Inggerinya berjudul “An Introduction to the Sciences of the Qur’aan” – Pent.

0 comments:

Post a Comment

KLIK DISINI :

KLIK DISINI :
SILAHKAN KLIK PADA GAMBAR UNTUK ENDAPATKAN FORM ORDER